Friday 12 August 2011

Setan Kena Rantai Bulan Pose! BETUL KE???


Memang kebiasaannya kita dengar bila tiba je bulan Ramadhan semua syaitan kena ikat, kena rantai, kena kurung, kena gari, kena kidnap,  kena itu kena ini dan kena macam2 lagi. Tapi betul ke semua ni? kalau betul kenape ada lagi yang terjumpa hantu walaupon dalam bulan Ramadhan? kenapa masih banyak jenayah berlaku di kawasan sekeliling kita? kenapa masih ada perempuan yang x tutup aurat kt bazar2 Ramadhan (paling jelas boleh nampak)? maksiat berlaku dimana- mana.. kenapa Oh mengapa? Di sini segalanya akan terbongkar MUAHAHAHA... Ops, kejap2! jgn buat muka cuak lagi, baca dulu ya..x seram pon.

Erti ‘Syaitan dirantai’ di bulan Ramadhan
Add caption

Isu ‘syaitan diikat atau dirantai’ di bulan Ramadhan adalah di antara perkara yang telah diketahui oleh kebanyakan umat Islam. Asas kepada maklumat ini ialah sabda Rasulullah Alaihis Salatuwassalam :

إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ
Apabila tiba bulan Ramadhan, maka pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan pula dirantai.

(H.R Bukhari, Tirmizi, Nasa`iy, Malik dll)
Namun, apakah erti ‘syaitan dirantai’?
Adakah maksiat dan kejahatan menjadi sifar di bulan Ramadhan?
Jika syaitan dirantai, mengapa ahli-ahli maksiat dan kejahatan masih wujud di bulan yang mulia ini?
Di sini dinukilkan beberapa pandangan dari ulama-ulama hadith berkaitan maksud ‘syaitan dirantai’ di bulan Ramadhan.
Pandangan 1 :
Maksud syaitan diikat ialah hanya ketua syaitan-syaitan yang ditangkap dan dirantai di bulan Ramadhan ini. Dengan kata lain, syaitan-syaitan kecil @ syaitan prebet masih dibiarkan bebas. Sementara syaitan otai berpangkat jeneral terpaksa meringkuk di dalam penjara Allah s.w.t.


Asas pandangan ini ialah sebuah hadith riwayat Imam Tirmizi, Nasa`iy, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan lain-lain.
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ
Apabila masuk malam pertama bulan Ramadhan, maka syaitan-syaitan dan jin-jin yang degil (kuat) dirantai dan diikat.
Bahkan, versi hadith riwayat Imam Nasa`iy, Ahmad dan lain-lain ada menjelaskan :
وَتُغَلُّ فِيهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِينِ
Dan diikatkan syaitan-syaitan yang kuat dan degil di bulan Ramadhan.
Justeru, hadith ini lebih mendetilkan maksud syaitan yang dirantai secara lebih spesifik. Ianya tidaklah semua. Tetapi hanya syaitan yang punya kreativiti hebat dan berpengalaman luas dalam menyesatkan anak Adam sahaja yang ditahan.
Pandangan 2:
Pandangan ini mentakwilkan ‘ikatan’ atau ‘rantaian’ ke atas syaitan itu secara kinayah atau majaz.
Ia boleh dilihat daripada kata-kata ulama yang dipetik dari kitab Fat-hu al-Bari.
وَتَصْفِيد الشَّيَاطِين عِبَارَة عَنْ تَعْجِيزِهِمْ عَنْ الْإِغْوَاءِ وَتَزْيِين الشَّهَوَات
Merantai syaitan (di bulan Ramadhan) memberi erti melemahkan mereka dari menyesatkan manusia dan dari membantu syahwat (dalam kerja-kerja melalaikan insan).
Kata-kata ini disokong `Iyadh r.a.
وَأَنَّ الشَّيَاطِينَ يَقِلُّ إِغْوَاؤُهُمْ فَيَصِيرُونَ كَالْمُصَفَّدِينَ
Sesungguhnya syaitan kurang mampu menyesatkan insan (di bulan Ramadhan). Maka keadaan ini menjadikan mereka seolah-solah seperti dirantai.
Kesimpulan pandangan kedua ini ialah tiada syaitan yang dirantai di dalam ‘lokap’ Allah. Hanya yang dikunci ialah sebahagian kekuatan dan kemampuan mereka. Mereka menjadi lemah dan ‘kurang cergas’ dalam usaha melemahkan iman insan. Justeru hal ini ‘sepatutnya’ membantu golongan beriman untuk memeriahkan Ramadhan dengan pelbagai ibadah.
Maksiat berkurangan di bulan Ramadhan?
Sekalipun ketua-ketua syaitan telah diikat atau kekuatan mereka telah dilemahkan, namun ia tidak menjamin maksiat menjadi sifar atau mengurangkan statistik maksiat di bulan Ramadhan.

Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa maksiat hanya berkurangan kepada mereka yang melaksanakan puasa dengan konsepnya yang sebenar, iaitu puasa yang bukan sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi juga memelihara adab-adab berpuasa pada anggota yang lain.
Maksiat masih berpeluang berleluasa di bulan Ramadhan. Ini kerana tidak semua individu muslim dapat menghayati serta memahami konsep puasa yang sebenar.
Bahkan tidak semua maksiat itu berpunca dari syaitan. Antara lain punca berlakunya maksiat ialah akhlak dan kebiasaan buruk yang sudah sebati dengan jiwa seseorang serta sikap mazmumah yang sudah lama tertanam dalam hati manusia.
(Ruj . Fathu al-Bari, Jil. 6, MS 136)
Selain itu, maksiat juga boleh meningkat akibat kempen dan usaha gigih syaitan-syaitan di kalangan manusia.
Allah mengingatkan kita tentang golongan syaitan bertopengkan manusia ini.
مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ
(Syaitan itu) adalah di kalangan jin dan manusia

An-Nas : 6

وَكَذَلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنْسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dan jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia).
Al-An`am : 112
Justeru, semua manusia yang terlibat dalam memesongkankan orang lain dengan idea-idea sesat, berkempen maksiat dalam media elektronik dan cetak, mengajak rakan-rakan meninggalkan ketaatan dan menggalakkan manusia berkelakuan buruk, semuanya itu dikategorikan dalam golongan syaitan manusia.
Kerosakan iman dan akhlak yang serius
Dari sudut yang lain, ketiadaan ketua-ketua syaitan atau kelemahan mereka di bulan yang mulia ini adalah menjadi kayu pengukur dalam menilai iman dan akhlak insan.
Jika dalam 30 hari yang mulia ini seseorang itu masih terus berdegil dan terlibat dengan perkara-perkara dosa dan haram, serta tiada reformasi qalbi dan islah imani, maka ia jelas menunjukkan tahap kelemahan iman yang serius serta krisis moral yang sangat dahsyat.
Di saat hanya syaitan-syaitan amatur serta kurang mahir dan pengalaman meneruskan kerja-kerja menyesatkan insan, ada yang masih mudah ditipu dan disesatkan.
Insan lemah ini masih ‘kemetot’ (komited) memakan rasuah, mendedah aurat, bercakap lucah, mendekati zina, menipu dalam berkata-kata dan sebagainya.
Umpama seorang dewasa dengan mudah ditipu oleh budak kecil yang baru petah bercakap. Sungguh aneh dan betapa lemahnya orang ini.
“Apalah punya lemah dan dungunya orang ni, dengan budak kecil pun boleh ditipu!”
Dengan kata lain, maksiat yang masih gagal dihentikan dalam bulan Ramadhan melambangkan kedegilan pelakunya serta menunjukkan betapa fitrahnya telah dicemari secara total.
Golongan ini harus cepar sedar biar tidak terlambat.
Jibril mendoakan agar golongan ini dijauhkan dari rahmat Allah. Doa ini telah diaminkan oleh Rasulullah Alaihis Solatuwassalam.
بَعُدَ مَنْ أَدْرَكَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَقُلْتُ: آمِينَ
Semoga semakin jauh seseorang itu dari rahmat Allah, jika ia bertemu Ramadhan namun ia masih tidak mendapat pengampunan daripada Allah. Maka aku menjawab : "Amin!"

(H.R Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Tabrani dll)
Ianya satu permintaan yang sesuai dengan kedegilan dan kehendak golongan ini.
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
"RAMADHAN MASIH MUDA GANDAKAN IBADATMU"